Wednesday, June 06, 2007

20 saman dalam seluar

KLANG: Lebih 20 saman trafik ditemui di dalam poket seluar seorang penjenayah yang ditembak mati di sebuah pangsapuri di Bukit Kuda, awal pagi semalam, sebelum bedah siasat dijalankan terhadapnya.

Saman trafik terbabit milik rakan jenayahnya yang melarikan diri dan penjenayah yang mati itu dipercayai hanya sempat mengambil saman itu sebaliknya meninggalkan salinan kad pengenalan lelaki yang sedang diburu.

Berdasarkan saman itu, penjenayah sering melanggar undang-undang jalan raya dengan memecut selain melanggar lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohd Rodwan Yusuf, berkata dalam kejadian jam 6.10 pagi semalam, penjenayah terbabit terkena tembakan di bahagian atas telinga kiri selepas menyerang polis menggunakan parang.

“Dua anggota sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu sebelum terlihat kelibat dua lelaki India sedang mencangkung di tepi sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri, tiba-tiba sebuah Proton Satria berwarna putih berhampiran dua lelaki itu memecut meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, di sini, petang semalam.

Dua penjenayah terbabit terus melarikan diri walaupun sudah diberi amaran untuk tidak berbuat demikian untuk pemeriksaan.

“Selepas berlari kira-kira 70 meter, seorang daripada penjenayah tiba-tiba berpusing dan mengeluarkan parang sebelum melibasnya ke arah anggota polis.

“Untuk mempertahankan diri, polis melepaskan tembakan dan terkena kepala penjenayah itu menyebabkannya tersungkur,” katanya.

Pemeriksaan mendapati penjenayah masih bernyawa dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan tetapi mati kira-kira tiga jam kemudian.

Seorang lagi penjenayah dapat melarikan diri dan hasil pemeriksaan terhadap kereta Proton Wira itu, polis menemui salinan kad pengenalan, dua bilah parang, pisau, pemutar skru selain pelbagai alatan pecah masuk rumah dan kenderaan.

“Pada mayat penjenayah, polis turut menemui parang serta pisau selain lebih 20 saman trafik tersimpan di poket seluarnya.

“Siasatan terhadap Proton Wira berkenaan mendapati ia milik seorang lelaki beralamat di Negeri Sembilan dan polis akan menahannya untuk siasatan,” katanya.

Pemeriksaan turut mendapati, penjenayah yang mati di tembak itu dikenali sebagai M Kumar, 22, berasal dari Kapar dan mempunyai empat rekod jenayah lampau iaitu tiga di Ipoh, Perak dan satu lagi di Klang.

Lelaki yang tertinggal salinan kad pengenalannya dan kini diburu polis pula dikenali sebagai M Miharaja, 18, dan turut mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan serangan terhadap penjawat awam yang sedang bertugas.

“Berdasarkan pemeriksaan terhadap senjata digunakan, polis percaya mereka melakukan jenayah terlebih dulu sebelum cuba melarikan diri dan ditembak.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran,” katanya.


terima kasih polis diraja malaysia

No comments: